1.4 JUTA PENDUDUK GAZA MASIH BERDEPAN KRISIS MAKANAN, PBB GESA BANTUAN DITERUSKAN

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kira-kira 1.4 juta penduduk Gaza, bersamaan hampir dua pertiga daripada populasi wilayah itu, masih berdepan krisis keterjaminan makanan akut walaupun keadaan menunjukkan sedikit peningkatan hasil peluasan bantuan kemanusiaan.

Timbalan Penyelaras Khas PBB bagi Proses Keamanan Asia Barat merangkap Penyelaras Kemanusiaan dan Residen bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Dr. Ramiz Alakbarov, berkata lebih 200,000 penduduk masih berada pada tahap Keterjaminan Makanan Kecemasan (IPC Fasa 4), sekali gus memerlukan bantuan berterusan.

Menurut beliau, peningkatan bekalan bantuan makanan, program pemakanan, perkhidmatan kesihatan dan sokongan tunai selepas gencatan senjata pada Oktober 2025 telah membantu mengurangkan ketakjaminan makanan serta memperbaiki status pemakanan kanak-kanak di Gaza.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan kemanusiaan masih rapuh kerana sebahagian besar isi rumah bergantung sepenuhnya kepada bantuan, manakala sistem makanan, mata pencarian dan perkhidmatan asas terus terjejas akibat sekatan akses serta pergerakan.

Beliau turut menjelaskan sektor pertanian masih lumpuh apabila sebahagian besar kawasan pertanian tidak dapat diusahakan, pengeluaran makanan tempatan kekal terhad dan sekatan terhadap kemasukan input pertanian terus menghalang usaha pemulihan ekonomi.

Sehubungan itu, PBB menegaskan bantuan kemanusiaan perlu diteruskan secara konsisten, di samping pemulihan perkhidmatan asas, pembukaan semula aktiviti komersial secara berperingkat serta pembiayaan yang mencukupi bagi memastikan kemajuan yang dicapai dapat dikekalkan dan kesejahteraan rakyat Gaza terus dipulihkan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *