POLIS TERENGGANU PERKETAT PENGUATKUASAAN RXZ MEMBERS 8.0, 1,850 SAMAN DIKELUARKAN

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Polis Terengganu memperhebat penguatkuasaan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 apabila sebanyak 1,850 saman dikeluarkan dan 222 motosikal disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi yang dijalankan dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan enam individu turut ditahan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan memberikan layanan istimewa kepada mana-mana peserta yang melanggar undang-undang, sebaliknya setiap kesalahan akan diambil tindakan berdasarkan bukti yang diperoleh.

Sepanjang penganjuran tahun ini, sebanyak 29 kemalangan jalan raya direkodkan termasuk lima kemalangan maut yang meragut lima nyawa, meningkat berbanding 11 kes kemalangan pada edisi tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, polis turut mengesan lima kes berkaitan narkotik dengan tiga tangkapan melibatkan penyalahgunaan dadah dan ketum. Selain itu, hanya satu kes kecurian motosikal serta satu kes penipuan tawaran inap desa direkodkan sepanjang program berlangsung.

PDRM menegaskan penguatkuasaan yang konsisten akan terus diperkasakan bagi memastikan keselamatan peserta serta orang awam, di samping memastikan penganjuran acara berskala besar berlangsung dalam keadaan terkawal dan mematuhi undang-undang.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *