JIM TUMPASKAN SINDIKET PEMALSUAN PASPORT, TIGA WARGA INDONESIA DITAHAN

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport menerusi Operasi Khas di Taman Sri Kuching dan Taman Bukit Cheras, sekali gus membawa kepada penahanan tiga warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi hasil risikan selama sebulan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket, bersama seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki berperanan sebagai ahli sindiket.

Dalam serbuan berkenaan, JIM merampas 119 naskhah pasport dipercayai dipalsukan, melibatkan pasport Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, India dan Nepal, selain menyita sebuah mesin pencetak, beberapa telefon bimbit serta wang tunai dipercayai hasil kegiatan sindiket.

Siasatan awal mendapati sindiket menawarkan perkhidmatan mengubah suai pasport kepada warga asing yang gagal saringan kesihatan FOMEMA, dengan mengenakan bayaran antara RM80 hingga RM130 bagi setiap dokumen yang dipalsukan.

Menurut Datuk Zakaria, tangkapan itu merupakan kes kelima membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama dan dipercayai aktif sejak awal tahun.

Beliau menegaskan JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen demi memastikan keselamatan, kestabilan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *