MALAYSIA DAN KUMPULAN BANK DUNIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK SOKONG AGENDA REFORMASI EKONOMI MADANI

PUTRAJAYA, 7 Ogos 2026 – Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah menerima kunjungan hormat daripada Pengurus Negara Malaysia bagi Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group, WBG), Ms. Judith Green, sempena tamatnya tempoh perkhidmatan beliau di Malaysia.

Ms. Judith Green telah dilantik sebagai Pengurus Negara WBG Kuala Lumpur pada 1 September 2024 dan akan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Ogos 2026.

Pertemuan tersebut menzahirkan komitmen berterusan Malaysia dan Kumpulan Bank Dunia dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi menyokong keutamaan pembangunan negara. Antara fokus utama kerjasama termasuk perkongsian ilmu, khidmat nasihat dasar serta pelaksanaan inisiatif pembangunan kapasiti yang sejajar dengan agenda reformasi Ekonomi MADANI.

Dalam pertemuan itu, Ms. Judith Green turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan padu serta hubungan kerjasama yang erat sepanjang tempoh beliau berkhidmat di negara ini.

Sepanjang menerajui WBG Malaysia, Ms. Judith Green memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta menggalakkan dialog yang konstruktif antara Kumpulan Bank Dunia dan pelbagai agensi kerajaan Malaysia. Usaha tersebut telah menyumbang kepada pembentukan kerjasama yang lebih mendalam, strategik dan berimpak dalam menyokong pembangunan sosioekonomi negara.

Kementerian Kewangan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan komitmen cemerlang Ms. Judith Green dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan Kumpulan Bank Dunia serta mendoakan kejayaan beliau dalam meneruskan tanggungjawab dan kerjaya pada masa hadapan.

Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan pembangunan antarabangsa dalam mempercepat pelaksanaan reformasi ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan memastikan pertumbuhan yang mampan serta inklusif demi kesejahteraan rakyat.

Sumber: Facebook Kementerian Kewangan Malaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *