
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menjelaskan bahawa penyertaan dalam Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional adalah secara sukarela, sekali gus memberi pilihan kepada pengusaha dan pemandu teksi untuk menyertai program tersebut mengikut kesesuaian masing-masing.
Menurut APAD, permohonan baharu atau penggantian teksi di bawah program itu melibatkan pembelian model Proton S70 yang ditawarkan sebagai Teksi MADANI, manakala teksi sedia ada yang tidak ditukar masih dibenarkan beroperasi sehingga mencapai had usia kenderaan yang ditetapkan.
Bagi pemandu yang memilih menyertai program berkenaan, mereka berpeluang menikmati pelbagai insentif yang disediakan kerajaan bagi menyokong pembaharuan industri teksi dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
APAD turut memaklumkan bahawa pemohon yang mempunyai kenderaan sedia ada atau tidak berjaya memperoleh pembiayaan pinjaman sewa beli masih dibenarkan melesenkan atau menggantikan kenderaan kepada model selain Proton S70 mengikut syarat pelesenan yang berkuat kuasa.
Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 3 Julai lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2026 untuk memodenkan industri teksi, meningkatkan daya saing perkhidmatan serta memperkukuh kebajikan pemandu di seluruh negara.
