JENAZAH KONSTABEL MUHAMMAD RAIMI SELAMAT DIKEBUMIKAN, TERIMA PENGHORMATAN TERAKHIR

DUNGUN, 8 Ogos – Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 24, anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah pada Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2 kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarga kira-kira 11.30 malam untuk penghormatan terakhir sebelum disolatkan dan dibawa ke tanah perkuburan.

Majlis penghormatan terakhir turut dihadiri Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat, kira-kira 200 pegawai dan anggota polis, selain ahli keluarga serta rakan Allahyarham.

Sebelum itu, jenazah diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan selamat tiba di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang pada 9.20 malam.

RENJATAN ELEKTRIK

Allahyarham merupakan antara tiga anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort.

Dua lagi anggota yang turut terkorban ialah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Koperal Chiu Teck Siong, 40.

Pemergian ketiga-tiga anggota berkenaan merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan setugas dan masyarakat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *