MAHKAMAH AS DENDA META RM2.5 BILION, PERKETAT PERLINDUNGAN PENGGUNA MUDA

SAN FRANCISCO, 7 Ogos – Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Meta membayar denda sebanyak AS$567 juta (kira-kira RM2.5 bilion) selepas syarikat itu didapati mewujudkan gangguan awam yang memberi kesan terhadap keselamatan dan kesejahteraan pengguna muda menerusi platform Facebook dan Instagram.

Keputusan mahkamah itu turut menetapkan beberapa langkah baharu bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan remaja dalam talian, termasuk mengehadkan fungsi tertentu yang dikatakan boleh menggalakkan penggunaan media sosial secara berlebihan.

Hakim Bryan Biedscheid mengarahkan Meta mengehadkan makluman (push notifications) serta menghadkan penggunaan Facebook dan Instagram kepada 90 jam sebulan bagi pengguna berusia bawah 18 tahun, bersamaan kira-kira tiga jam sehari.

Selain itu, paparan jumlah ‘like’ akan disembunyikan, manakala kawalan pendaftaran turut diperketat bagi memastikan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun tidak membuka akaun di kedua-dua platform berkenaan.

Peguam Negara New Mexico, Raul Torrez, menyifatkan keputusan tersebut sebagai kemenangan penting kepada ibu bapa dan kanak-kanak, sambil menegaskan syarikat teknologi perlu dipertanggungjawabkan sekiranya amalan perniagaan mereka memberi kesan negatif terhadap golongan muda.

Keputusan bersejarah itu dilihat sebagai antara tindakan paling tegas terhadap platform media sosial dalam usaha memperkukuh keselamatan digital, melindungi kesihatan mental remaja serta memastikan ekosistem media sosial yang lebih selamat untuk generasi muda.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *