“Jangankan biarkan anak-anak jadikan AI sebagai teman”: Pesan Fahmi kepada ibu bapa

Jangankan jadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai teman, apatah lagi sehingga membiarkan teknologi itu menggantikan hubungan anak-anak dengan manusia.

Demikian peringatan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil kepada ibu bapa susulan perkembangan teknologi AI yang kini mampu berinteraksi dan berbual dengan pengguna seolah-olah seperti seorang manusia.

Beliau berkata perkembangan itu merupakan antara ancaman baharu yang perlu diberikan perhatian terutama apabila kanak-kanak mungkin mula menganggap AI sebagai kawan atau tempat bergantung secara emosi.

“AI bukan manusia. AI bukan pengganti kawan. AI tak boleh dijadikan boyfriend atau girlfriend.

“AI bukan kawan, AI adalah perkakasan, AI is a tool,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat di Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Fahmi berkata walaupun kebimbangan mengenai kanak-kanak menjadikan AI sebagai teman mungkin kedengaran agak luar biasa, perkara itu tidak mustahil berlaku sekiranya ibu bapa tidak mengetahui bagaimana teknologi berkenaan digunakan oleh anak masing-masing.

Justeru itu, beliau meminta ibu bapa meneliti trend penggunaan AI dalam kalangan anak-anak dan tidak hanya melihat teknologi itu sebagai alat membantu pembelajaran.

Menurutnya penggunaan AI untuk menyalin dan menampal tugasan merupakan satu isu, namun kebergantungan kepada teknologi itu bagi mendapatkan pandangan termasuk berkaitan agama juga perlu diberikan perhatian.

“AI bukan ulama,” katanya.

Beliau berkata maklumat yang diberikan AI tidak semestinya tepat atau terkini selain teknologi berkenaan boleh mengalami fenomena “halusinasi AI” iaitu menghasilkan jawapan atau maklumat yang kelihatan meyakinkan tetapi sebenarnya tidak tepat.

“Yang paling berbahaya adalah AI yang boleh bercakap dengan kita.

“Sekiranya ada anak-anak kita yang mula berkawan dengan AI, ibu bapa tolong teliti. AI bukan kawan, AI adalah perkakasan,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan bahawa ibu bapa perlu menjadi benteng utama dalam melindungi anak-anak daripada pelbagai ancaman internet termasuk penipuan dalam talian, buli siber serta pemangsaan seksual.

Katanya usaha kerajaan menyediakan internet lebih murah, pantas dan mempunyai liputan lebih luas tidak membawa makna sepenuhnya sekiranya ruang digital itu sendiri tidak selamat.

“Di pihak saya dan juga pihak MCMC, kami bertungkus-lumus untuk pastikan internet lebih murah, capaian internet lebih meluas, internet lebih laju.

“Tapi semua ini tidak bermakna kalau internet tidak selamat,” katanya.

Menurut Fahmi, antara bukti ancaman internet yang semakin serius ialah kerugian rakyat Malaysia akibat jenayah scam yang mencecah RM2.9 bilion pada tahun lalu.

Beliau turut berkongsi pengalaman ibunya yang menjadi mangsa scam pada 2021 sehingga kehilangan RM75,000 daripada simpanan Tabung Haji walaupun merupakan bekas penjawat awam yang pernah memegang jawatan kanan kerajaan.

Justeru itu, katanya, ibu bapa perlu membudayakan prinsip “zero trust” atau sifar kepercayaan dengan membuat pengesahan terhadap setiap maklumat diterima dan tidak mudah mempercayai mesej, pautan atau panggilan daripada sumber tidak dikenali.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan nak ingat apa-apa pun daripada ucapan saya, ini adalah satu perkara; tak pasti, jangan percaya, sahkan.

“Kalau apa-apa maklumat datang kepada kita, buat pengesahan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan mahu mengelakkan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada membuka dan memiliki akaun media sosial sendiri susulan kebimbangan terhadap risiko gangguan seksual serta pengantunan atau grooming dalam talian.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan tidak menghalang golongan itu menggunakan platform seperti YouTube, TikTok atau Facebook sekiranya akaun berkenaan dibuka, dipegang dan dipantau oleh ibu bapa termasuk bagi tujuan pendidikan.

“Kita tidak larang anak-anak daripada menggunakan media sosial, YouTube, TikTok, Facebook dan sebagainya kalau akaun itu dipegang, disimpan, dibuka dan dijaga oleh ibu bapa.

“Kalau dia buka akaun sendiri dan dia bercakap dengan orang dewasa yang kita tak kenal tiba-tiba dah berpacaran, boyfriend, girlfriend, ajak pergi nanti, itu yang kita risau,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *