
PUTRAJAYA, 7 Ogos – Malaysia terus memperkukuh hubungan strategik dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha mempercepat transformasi sektor agromakanan negara ke arah yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi menerusi kunjungan hormat EU-ASEAN Business Council (EU-ABC) ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam pertemuan tersebut, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan bahawa EU merupakan antara rakan komersial dan teknologi terpenting Malaysia dalam memperkukuh sistem agromakanan negara bagi menghadapi cabaran keterjaminan makanan global, perubahan iklim serta gangguan rantaian bekalan dunia.
Perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), penggunaan teknologi pertanian dan Kecerdasan Buatan (AI), pemerkasaan rantaian bekalan tenusu tempatan serta pengukuhan piawaian kesihatan haiwan dan biosekuriti.
Mohamad turut menggesa syarikat-syarikat EU terus menyokong pembangunan kapasiti petani dan penternak tempatan, khususnya dalam pematuhan standard kualiti, langkah Sanitari dan Fitosanitari (SPS), penerokaan pasaran baharu serta kemudahan perdagangan. Kedua-dua pihak juga menyatakan komitmen menyokong rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang sedang berlangsung.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menyeru lebih banyak kerjasama strategik antara syarikat EU dan syarikat tempatan bagi mempercepat pemodenan rantaian bekalan agromakanan negara, sekali gus menjamin keterjaminan makanan rakyat. Delegasi EU-ABC turut dijemput menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026.
Sumber: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
Sorotan Berita: Jendela Madani
