
RIO DE JANEIRO, 9 Ogos – Empat individu termasuk tiga pelancong dari Colombia maut selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas di Taman Negara Tijuca, Rio de Janeiro, Brazil, pada Sabtu.
Tiga mangsa dari Colombia merupakan anggota sebuah keluarga yang berkunjung ke Rio de Janeiro bagi meraikan ulang tahun ke-15 seorang anak perempuan. Kumpulan enam anggota keluarga itu terpaksa dibahagikan kepada dua kumpulan kerana helikopter berkenaan hanya mampu membawa tiga penumpang pada satu-satu masa.
Mangsa yang maut terdiri daripada nenek, ibu saudara dan sepupu gadis berkenaan, selain juruterbang helikopter.
Helikopter terbabit dilaporkan terbakar sebelum terhempas di kawasan lereng bukit yang curam dan sukar diakses berhampiran Vista Chinesa, mercu tanda terkenal di Taman Negara Tijuca.
Pihak konsulat Colombia membantu pihak berkuasa Brazil dalam proses mengenal pasti mangsa yang berdepan kesukaran susulan keadaan mayat akibat nahas tersebut.
Susulan kejadian, Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Cavaliere meminta Agensi Penerbangan Awam Kebangsaan Brazil meningkatkan pemantauan terhadap operasi penerbangan helikopter bagi memastikan keselamatan pelancong.
Nahas itu merupakan insiden helikopter kedua di Rio de Janeiro dalam tempoh kurang dua bulan selepas dua helikopter bertembung di ruang udara bandar berkenaan pada Jun lalu, mengorbankan enam individu.
