
10 OGOS 2026
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-59
pada 8 Ogos 2026. Sejak ditubuhkan pada tahun 1967, ASEAN terus berkembang sebagai sebuah
pertubuhan serantau yang berperanan penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan, memacu
kemakmuran serta mempererat hubungan antara rakyat di rantau Asia Tenggara. Berpaksikan tiga
tonggak Komuniti ASEAN, iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosio-Budaya, ASEAN kekal utuh
dalam mendepani pelbagai perubahan dan cabaran serantau serta global.
Bersempena dengan ulang tahun tersebut, Kementerian Luar Negeri menganjurkan Sambutan Hari
ASEAN Ke-59 pada 10 Ogos 2026 di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. Majlis ini disempurnakan oleh
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri dan menghimpunkan 300 orang
tetamu.
Sambutan tersebut turut dihadiri oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan
Budaya, YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Luar Negeri, pegawai kanan daripada
kementerian dan agensi berkaitan, anggota Kor Diplomatik, wakil pertubuhan antarabangsa serta pihak
media.
Bertemakan “59 Years of Navigating Together”, sambutan pada tahun ini mengetengahkan perjalanan
hampir enam dekad Malaysia bersama ASEAN serta sumbangan dan komitmen berterusan negara dalam
membangunkan Komuniti ASEAN. Sambutan Hari ASEAN Ke-59 ini turut menjadi manifestasi iltizam
bersama negara-negara anggota ASEAN untuk terus memperkukuh perpaduan, solidariti dan kerjasama
demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau Asia Tenggara.
PUTRAJAYA
10 Ogos 2026
