
TANGANI CABARAN IMPORT RM78.9 BILION DAN TEKNOLOGI BAHARU
11 Ogos 2026
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh kawal selia keselamatan makanan
negara menerusi penyertaan rasmi sebagai ahli Asia-Pacific Food Regulatory
Authority Summit (APFRAS), selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri.
Majlis menandatangani keahlian tersebut disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, YB
Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, sempena perasmian Persidangan Keselamatan
Makanan 2026 bertemakan “Inovasi dan Teknologi Baharu – Cabaran atau Peluang?” di
Bangi Avenue Convention Centre (BACC) hari ini.
Penyertaan dalam APFRAS memberikan Malaysia platform strategik di peringkat
antarabangsa untuk mempengaruhi pembentukan piawaian keselamatan makanan
Asia-Pasifik, memudah cara perdagangan eksport tempatan, serta mempercepatkan
pendigitalan tadbir urus keselamatan makanan negara. Langkah ini amat kritikal bagi
mendepani peningkatan signifikan bekalan makanan import negara yang melonjak 85
peratus daripada RM42.6 bilion (2013) kepada RM78.9 bilion (2023), di samping
mendepani statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menganggarkan 1
daripada 10 orang di dunia jatuh sakit setiap tahun akibat makanan tercemar.
Bagi menangani cabaran rantaian bekalan global yang kompleks, KKM kini giat meneroka
penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis ramalan
(predictive analytics). Langkah ini bertujuan memperkasakan kecekapan pemantauan
serta kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk negara secara lebih pantas dan tepat.
Pendekatan strategik ini turut diiringi dengan penilaian risiko dan kerangka perundangan
berasaskan bukti saintifik bagi mengawal selia pelbagai inovasi rantaian makanan baharu.
Ini merangkumi teknologi pemprosesan seperti daging kultur (cultivated meat), penapaian
tepat (precision fermentation), nanoteknologi, dan cetakan makanan 3D (3D food printing),
sehinggalah kepada aspek keselamatan produk yang melibatkan penggunaan
pembungkusan mesra alam (biodegradable), pembungkusan pintar (smart packaging),
serta sistem kebolehkesanan ‘blockchain’.
Persidangan dua (2) hari anjuran Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ini
menghimpunkan lebih 300 peserta daripada industri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan, dan institusi pengajian tinggi. Ia memfokuskan kepada tiga kluster utama iaitu
Mendepani Cabaran dan Risiko Keselamatan Makanan, Kawalan Berteraskan Bukti
Saintifik, serta Inovasi dan Teknologi Merentasi Masa.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
11 OGOS 2026
