
PUTRAJAYA, 10 Ogos 2026 β Kementerian Digital terus memperkukuh agenda transformasi digital sektor awam menerusi penerapan Agentic Artificial Intelligence (Agentic AI) dalam aplikasi MyGOV Malaysia, sebagai langkah strategik ke arah penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pintar, proaktif, responsif dan berpusatkan rakyat.
Agentic AI merupakan evolusi kecerdasan buatan yang berupaya memahami konteks, merancang tindakan bersesuaian serta membantu melaksanakan tugasan merentasi pelbagai perkhidmatan digital kerajaan, tertakluk kepada kebenaran pengguna, tadbir urus dan kawalan yang ditetapkan.
Penerapan teknologi ini dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berperingkat, dengan memberi penekanan terhadap keselamatan, privasi data, ketepatan maklumat, tadbir urus AI, ketelusan serta kawalan manusia selaras dengan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam.
Melalui pendekatan tersebut, MyGOV Malaysia berpotensi berkembang daripada sekadar platform yang menghimpunkan perkhidmatan kerajaan kepada pembantu digital kerajaan yang membantu rakyat menyelesaikan urusan dengan lebih mudah, pantas dan tersusun.
Rakyat tidak lagi perlu mengetahui terlebih dahulu agensi atau sistem kerajaan yang perlu dilayari. Sebaliknya, pengguna boleh menyatakan keperluan dalam bahasa mudah, manakala Agentic AI membantu mengenal pasti perkhidmatan berkaitan, memberikan panduan langkah demi langkah dan, apabila tersedia serta mendapat kebenaran pengguna, membantu melaksanakan tindakan melalui sistem kerajaan yang berkaitan.
Sebagai contoh, semakan saman polis melalui Agentic AI dapat menyediakan pengalaman baharu kepada rakyat dengan membantu menyediakan menu pembayaran saman sehingga urusan selesai.
Penerapan Agentic AI ini menyokong usaha Kerajaan mengurangkan kerumitan birokrasi digital dan mewujudkan pengalaman perkhidmatan awam yang lebih mesra pengguna, berorientasikan rakyat serta berpaksikan keperluan rakyat.
Kementerian Digital akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan penerapan Agentic AI dalam ekosistem digital Kerajaan dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan berkesan, selaras dengan aspirasi membangunkan Kerajaan MADANI yang lebih pintar, tangkas dan berorientasikan rakyat, serta menyokong hasrat Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.
MYGOV MALAYSIA: DATA TERKINI
Sehingga Julai 2026, MyGOV Malaysia telah merekodkan:
- Lebih 2.9 juta pengguna
- 52 perkhidmatan digital
- Melibatkan 19 agensi kerajaan
Penerapan Agentic AI dalam MyGOV Malaysia sedang dilaksanakan secara beta bermula awal Ogos 2026, dengan matlamat memperkasa MyGOV Malaysia sebagai gerbang tunggal yang bukan sahaja menghubungkan rakyat dengan Kerajaan, malah membantu memudah dan mempercepat urusan perkhidmatan awam secara lebih pintar, responsif dan berorientasikan rakyat.
MalaysiaMadani
YakinMadani
MadaniBekerja
β SOROTAN BERITA JENDELA MADANI β
