
11 Ogos 2026
Tindakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang keluar beramai-ramai sebagai tanda protes ketika Sidang Khas Dewan Rakyat membahaskan Laporan RCI Lembaga Tabung Haji hari ini amat mengecewakan.
Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam. Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar.
Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan?
Kalau ada dapatan RCI yang mereka tidak setuju, bangun dan lawan dengan fakta. Kalau ada keputusan kerajaan yang mereka mahu persoalkan, tanyakan dalam Dewan. Kalau ada pihak yang mereka percaya perlu dipertahankan, pertahankan dengan hujah.
Tetapi jangan di luar Dewan bercakap soal ketelusan, soal amanah, soal Islam dan kepentingan umat, kemudian apabila sampai masanya untuk berdepan dengan fakta di dalam Dewan, mereka memilih untuk keluar beramai-ramai.
Lebih mengecewakan, tindakan ini dibuat ketika kita sedang membahaskan sebuah laporan yang menyentuh soal pengurusan dan amanah wang pendeposit Tabung Haji. Ini bukan isu kecil dan bukan ruang untuk melakukan ‘political stunt’.
Kalau benar mereka serius mahu mempertahankan kepentingan umat Islam, inilah tempatnya. Duduk dalam Dewan, teliti laporan itu dan bahaskan setiap perkara yang mereka pertikaikan.
Apabila mereka sendiri memilih untuk keluar, rakyat tentu berhak bertanya, apa sebenarnya yang pembangkang mahukan?
Petikan dari :
- Datok Seri Dr. Zaliha Mustafa
