
12 Ogos 2026
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu secara serentak di seluruh negara pada 10 hingga 11 Ogos 2026 melibatkan 14 lokasi penempatan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang ramai.
Antara operasi yang dilaksanakan ialah Op Sasar di sebuah apartment di Kajang pada 11 Ogos 2026 bermula jam 10.30 malam. Dalam operasi tersebut, seramai 330 individu telah diperiksa dan 248 warganegara asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Secara keseluruhan, operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negara ini melibatkan pemeriksaan terhadap 3,307 individu, dengan seramai 1,043 warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Operasi ini dilaksanakan susulan aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran serta aktiviti warga asing di lokasi terbabit yang menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat.
Operasi ini melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 682 pegawai dan anggota, terdiri daripada 578 pegawai JIM, 23 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 19 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK), lima pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta 52 pegawai daripada agensi lain.
Daripada keseluruhan 1,043 warganegara asing yang ditahan, mereka terdiri daripada 328 warganegara Indonesia, 370 Bangladesh, 55 India, 183 Myanmar, 22 Nepal dan 140 lain-lain warganegara. Kesemua yang ditahan berumur antara 17 hingga 59 tahun, terdiri daripada 880 lelaki dan 163 perempuan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, memiliki kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen negeri masing-masing bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 45 Borang 29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
