KPDN Labuan sita 100 liter petrol tanpa permit

LABUAN, 11 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menyita lima gelen mengandungi 100 liter petrol yang disimpan tanpa permit dalam Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di Ujong Pasir.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, serbuan dilakukan selepas sebuah kenderaan berpendaftaran tempatan yang ditinggalkan tanpa pemilik diperiksa pasukan penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan menemukan lima unit gelen berisi petrol yang disimpan tanpa permit atau kebenaran bertulis bagi pemilikan barang kawalan.

Kes berkenaan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], manakala eksibit disita untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan barang yang disita dianggarkan RM5,377.

Bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi berasingan, KPDN Labuan turut mengambil tindakan terhadap sebuah pasar mini selepas mendapati dua tanda harga berbeza dipaparkan pada ayam yang dijual.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], dengan kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *