KABINET ARAH PELAN KOMPREHENSIF PERKUKUH KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG NEGARA

13 Ogos 2026

Jemaah Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) menyediakan satu pelan komprehensif dalam tempoh dua minggu bagi menambah baik kawalan keselamatan di lapangan terbang negara.

Penelitian akan memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian keselamatan termasuk pemeriksaan bagasi, kawalan keselamatan, keselamatan penumpang serta penyelarasan antara agensi.

“Fokus utama adalah mengenal pasti dan mengurangkan sebarang ruang yang berpotensi mengkompromi keselamatan lapangan terbang dan penumpang.” — YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.

Pendekatan menyeluruh ini penting bagi memastikan setiap lapisan kawalan keselamatan dinilai secara teliti, sekali gus mengenal pasti ruang penambahbaikan dari aspek prosedur, koordinasi, kesiapsiagaan serta keupayaan operasi.

Pelan berkenaan akan melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia Airports, Aviation Security (AVSEC), Polis Bantuan serta agensi berkaitan.

KDN akan terus bekerjasama rapat dengan MOT dan semua pemegang taruh bagi memastikan keselamatan pintu masuk negara sentiasa berada pada tahap terbaik. Keselamatan lapangan terbang bukan sekadar melindungi infrastruktur strategik, tetapi turut melibatkan keselamatan penumpang, keyakinan rakyat dan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dan diyakini.

Keselamatan diperkukuh. Penyelarasan dipertingkat. Kepentingan rakyat diutamakan.

Sumber: Teks Ucapan Menteri Dalam Negeri | Majlis Makan Malam Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESSZone Tahun 2026 | Sandakan, Sabah | 7 Ogos 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *