
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu berjaya ditemukan di sekitar Central Market, Kuala Lumpur, malam tadi.
Perkara itu disahkan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook pada awal pagi ini.
Menurut beliau, kedua-dua pelajar berkenaan berjaya ditemukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pada pukul 10.31 malam.
Terdahulu, pihak polis menerima laporan daripada seorang guru berhubung kehilangan kedua-dua pelajar berkenaan pada pukul 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
Penemuan kedua-dua pelajar itu sekali gus menamatkan kebimbangan berhubung kehilangan mereka yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu.
