
KUCHING, 15 Ogos – Sebanyak lapan kawasan di Sarawak masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dengan Serian mencatat bacaan tertinggi 169 setakat 3.30 pagi tadi.
Berdasarkan data terkini, Samarahan dan Kuching masing-masing merekodkan IPU 167, diikuti Sri Aman dengan 157, Sarikei (156), Bintulu (155), Mukah (153) dan Samalaju (130).
Kesemua kawasan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat, iaitu bacaan IPU antara 101 hingga 200, menunjukkan keadaan jerebu di Sarawak masih memerlukan pemantauan berterusan.
Keadaan itu dijangka terus diberi perhatian susulan cuaca panas dan kering yang diramal berterusan di kebanyakan kawasan Borneo sehingga 20 Ogos. Angin dari arah selatan serta peningkatan jumlah titik panas di Borneo turut berpotensi meningkatkan risiko jerebu dan mengurangkan jarak penglihatan, khususnya di bahagian selatan Sarawak.
Dalam usaha menangani keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Sarawak dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan tumpuan kepada kawasan empangan kritikal dan tadahan air.
Langkah berkenaan turut bertujuan mengurangkan risiko gangguan bekalan air serta mengelakkan keadaan jerebu daripada menjadi lebih buruk.
