19,322 PJRM dilaksana, lebih 25.5 juta transaksi direkodkan

AYER KEROH, 15 Ogos – Pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di seluruh negara terus diperluas apabila sebanyak 19,322 program telah dilaksanakan sehingga Julai lalu, sekali gus melepasi sasaran 17,500 program yang ditetapkan bagi tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan berkenaan turut merekodkan lebih 25.5 juta transaksi, menunjukkan sambutan serta manfaat program berkenaan kepada masyarakat.

Beliau berkata, PJRM kini meliputi 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang mempunyai keperluan tinggi dan komuniti yang memerlukan.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu turut diperluas ke kawasan luar bandar serta lokasi yang mempunyai akses terhad kepada jualan barangan pada harga rendah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat.

“Program ini menawarkan penjimatan kira-kira 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat dan melibatkan pelbagai barangan keperluan seperti ayam, ikan, telur, minyak masak, tepung, beras, sayur-sayuran, buah-buahan serta barangan keperluan isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Dr Fuziah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperluas pelaksanaan PJRM, selain meneroka pendekatan baharu bagi memastikan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah dapat dibawa lebih dekat kepada rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *