
ATHENS, 17 Ogos – Dua maut, manakala lebih 500 penduduk serta pelancong dipindahkan selepas dua kebakaran berlaku hampir serentak di Pulau Salamis pada Ahad.
Jabatan Bomba Greece memaklumkan, dua mayat berkenaan ditemukan di kawasan pantai Peristeria, kira-kira sejam selepas kebakaran tercetus.
“Ratusan penduduk serta pengunjung telah diarah berpindah, manakala lima individu dilaporkan telah menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan tempatan.
“Kebakaran turut mengakibatkan beberapa kediaman rosak,” kata Timbalan Jurucakap Jabatan Bomba Greece, Yiannos Artopios.
Dalam pada itu, empat arahan pemindahan telah dikeluarkan Kementerian Perlindungan Awam susulan kebakaran yang berlaku hampir serentak masing-masing di Peristeria dan Selinia.
Pasukan keselamatan turut ditempatkan di lokasi berkenaan bagi membantu pemindahan sementara penduduk serta pengunjung.
Kira-kira 200 anggota bomba telah dikerah bagi mengawal kebakaran dengan menggunakan pelbagai aset termasuk jentera, pesawat serta helikopter.
Punca kebakaran setakat ini masih belum diketahui.
