
MUKADIMAH
Fenomena ketagihan gajet adalah antara tabiat terburuk rakyat Malaysia yang kini semakin membarah apatah lagi hampir 99.3 peratus rakyat mempunyai akses kepada telefon bimbit.
Kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia Kementerian Ekonomi pada 2023 menyebut dari segi penggunaan telefon, 97.6 peratus memilih telefon pintar manakala 16.3 peratus daripada isi rumah masih mempunyai capaian ke atas telefon biasa.
Statistik Pusat Pengajian Kemasyarakat Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pula menyebut kira-kira 70 peratus pengguna di Malaysia menunjukkan tingkah laku ketagihan gajet.
Ironiknya mereka tidak boleh hidup tanpa gajet dan gagal mengawal diri daripada ketagihan alat tersebut sehingga merosakkan jiwa dan minda.
Ada yang sudah mula mengkategorikan penagih gajet’ sebagaiZombie Digital’ iaitu mayat hidup yang hilang fungsi otak, tiada kesedaran diri dan didorong oleh naluri ganas.
Sejauh mana Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (ONSA) atau The Oneline Safety Act dapat membendung serta melindung rakyat daripada barah ini khasnya kalangan kanak-kanak serta remaja sebelum terlambat.
Laporan Khas Portal Jendela Madani mengupas isu ini daripada pelbagai perspektif.
KUPASAN 1:
TELEFON PINTAR KINI HAMPIR DI TANGAN SEMUA RAKYAT MALAYSIA – KEPERLUAN ATAU PILIHAN
Suatu ketika dahulu, telefon bimbit sekadar digunakan untuk membuat panggilan dan menghantar SMS. Hari ini, ia menjadi “dompet”, “bank”, “kaunter kerajaan”, “pusat membeli-belah” malah menjadi pintu utama rakyat Malaysia memasuki dunia digital.
Realitinya, hampir setiap rumah di negara ini kini mempunyai telefon bimbit.
Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sebanyak 99.3 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit, manakala 97.6 peratus menggunakan telefon pintar.
Perubahan ini menunjukkan bahawa teknologi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat.
Internet juga semakin menjadi keperluan asas apabila 96.4 peratus isi rumah mempunyai capaian Internet, dengan majoriti menggunakan jalur lebar mudah alih. Di kawasan bandar, kadar capaian Internet mencecah 98.4 peratus, manakala kawasan luar bandar turut mencatatkan kadar yang tinggi iaitu 89.8 peratus.
Kebergantungan kepada Internet jelas dapat dilihat melalui aktiviti harian masyarakat. Hampir semua pengguna Internet di Malaysia menggunakan media sosial, manakala ramai yang memuat turun kandungan digital, mencari maklumat mengenai produk dan perkhidmatan, membeli-belah secara dalam talian serta melakukan urusan perbankan Internet.
Statistik DOSM menunjukkan 70.6 peratus rakyat Malaysia membeli barangan atau perkhidmatan secara dalam talian, manakala 75.2 peratus menggunakan perbankan Internet* sepanjang tahun 2023.
Namun di sebalik perkembangan memberangsangkan ini, terdapat satu persoalan yang semakin penting.
Apabila hampir seluruh rakyat Malaysia berada dalam talian, adakah mereka benar-benar mempunyai kemahiran digital yang mencukupi untuk melindungi diri daripada ancaman siber?
Laporan yang sama menunjukkan kebanyakan rakyat mahir menggunakan fungsi asas komputer seperti menyalin fail, menghantar e-mel dan memindahkan data. Namun kemahiran yang lebih teknikal masih berada pada tahap sederhana, manakala hanya sebahagian kecil mempunyai pengetahuan dalam pengaturcaraan komputer.
KESELAMATAN SIBER
Jurang ini memberi gambaran bahawa penggunaan teknologi berkembang jauh lebih pantas berbanding tahap literasi digital sebahagian pengguna.
Keadaan ini menjadikan keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan kesedaran terhadap penipuan dalam talian semakin penting. Apabila telefon pintar menjadi pintu masuk kepada akaun bank, media sosial, urusan kerajaan dan pembelian dalam talian, setiap pengguna turut berdepan risiko menjadi sasaran jenayah siber sekiranya kurang berhati-hati.
Malaysia kini bukan sahaja sedang bergerak ke arah masyarakat digital, malah hampir keseluruhan rakyat sudah berada di dalamnya. Cabaran selepas ini bukan lagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada teknologi, tetapi memastikan mereka mempunyai ilmu dan kesedaran untuk menggunakan teknologi tersebut secara selamat, bijak dan bertanggungjawab.
