Pesakit kanser di Australia dijangka mencecah 2.61 juta menjelang 2050

SYDNEY, 17 Ogos – Jumlah penduduk Australia yang hidup dengan diagnosis kanser dijangka meningkat kepada 2.61 juta orang menjelang 2050, iaitu pertambahan hampir sejuta berbanding 1.66 juta pada 2025, menurut model ramalan baharu, lapor Xinhua.

Peningkatan tersebut mewakili kenaikan kira-kira 57 peratus dan dijangka dipengaruhi oleh pertumbuhan serta penuaan penduduk, peningkatan kejadian bagi sesetengah jenis kanser, selain kadar kelangsungan hidup pesakit yang semakin baik.

Menurut kenyataan Universiti Sydney (USYD) Australia pada Isnin, peningkatan kadar kelangsungan hidup turut dikaitkan dengan pengesanan awal melalui saringan serta kemajuan dalam kaedah rawatan.

Kajian yang diterbitkan dalam Lancet Regional Health – Western Pacific itu meramalkan jumlah pesakit kanser berusia 80 tahun ke atas akan meningkat lebih dua kali ganda, daripada 480,000 orang pada 2025 kepada lebih sejuta orang menjelang 2050.

Pada tempoh sama, kira-kira 1.15 juta orang dijangka menjalani rawatan aktif atau pemantauan rapi bagi kanser yang masih belum pulih.

Kajian berkenaan turut menjangkakan kanser payudara menjadi jenis kanser paling lazim di Australia menjelang 2050, diikuti kanser prostat, melanoma, kolorektum dan buah pinggang.

Pengarang kanan bersama kajian, Profesor Karen Canfell yang mengetuai Cancer Elimination Collaboration di USYD berkata, peningkatan jumlah tersebut masih boleh dikurangkan sekiranya langkah pencegahan dan pengesanan dilaksanakan lebih awal.

Menurut beliau, pengukuhan usaha pencegahan, pengesanan awal, diagnosis serta laluan penjagaan berpotensi mengurangkan jumlah kes secara ketara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *