
KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 — Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan sasaran ekonomi digital menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menjelang 2030, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berpacukan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, berkata sasaran tersebut kekal sebagai antara agenda penting transformasi digital negara, dengan ekonomi digital telah berkembang sebagai komponen utama dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Sasaran 30 peratus itu turut digariskan menerusi Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang dilancarkan pada Jun 2026.
500, 000 PELUANG PEKERJAAN
Pelan tersebut turut menyasarkan pewujudan 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi berkaitan digital, di samping memperkukuh inovasi, infrastruktur, bakat, keselamatan dan tadbir urus digital negara.
Menurut Gobind, Malaysia perlu terus memperkukuh ekosistem digital, termasuk pembangunan bakat, infrastruktur teknologi, keselamatan siber, penggunaan AI serta kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi berkaitan bagi memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati secara meluas.
Beliau sebelum ini turut menegaskan bahawa Malaysia kekal “on track” untuk mencapai sasaran tersebut walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Usaha memperluas ekonomi digital bukan sahaja bertujuan meningkatkan sumbangan sektor teknologi kepada KDNK, malah membuka ruang kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan produktiviti serta pengukuhan daya saing Malaysia sebagai hab digital di rantau Asia Tenggara.
Kerajaan akan terus memperkukuh agenda pendigitalan secara bersepadu bagi memastikan Malaysia mampu bergerak daripada sekadar pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi digital yang berdaya saing, dipercayai dan berteraskan tadbir urus yang kukuh.
Sumber: Facebook Kementerian Digital Malaysia
