

.
๐๐๐ก๐๐๐๐ช๐, ๐ฎ๐ฏ ๐ข๐ด๐ผ๐ โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah menggerakkan aset bagi membantu operasi pemindahan seorang pesakit lelaki berusia 19 tahun dari Hospital Sultanah Maliha, Langkawi ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pesakit, Muhammad Amin Shahfuwan bin Ahmad Zamri, mengalami kecederaan serius susulan kemalangan jalan raya dan telah menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Maliha sebelum memerlukan pemindahan ke hospital rujukan bagi mendapatkan rawatan yang lebih menyeluruh.
Pesakit yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) telah distabilkan oleh pasukan perubatan sebelum proses pemindahan dilaksanakan. Keadaan pesakit terus dipantau sepanjang perjalanan, dengan rawatan sokongan diteruskan oleh pasukan perubatan bagi memastikan keadaan beliau kekal stabil sehingga tiba di hospital destinasi.
Penggunaan aset Maritim Malaysia bagi operasi ini dilaksanakan hasil koordinasi antara MRSC Langkawi, pihak hospital dan pasukan perubatan bagi memastikan proses pemindahan pesakit dapat dijalankan dengan selamat, lancar dan teratur.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kesiapsiagaan Maritim Malaysia bukan sekadar tertumpu kepada tugas penguatkuasaan dan keselamatan maritim, malah turut merangkumi pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan, khususnya apabila melibatkan nyawa dan keselamatan orang awam.
โApa yang lebih utama dalam operasi sebegini adalah memastikan pesakit dapat dipindahkan dengan selamat dan rawatan tidak terputus sepanjang perjalanan. Kerjasama erat antara agensi dan pasukan perubatan menjadi faktor penting dalam memastikan misi kemanusiaan seperti ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,โ katanya.
Maritim Malaysia akan terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi serta kerjasama antara agensi dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan komuniti maritim sentiasa menjadi keutamaan.
Sebarang kejadian kecemasan atau aktiviti mencurigakan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.
