
DAMANSARA DAMAI, 24 Ogos 2026 – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin
Ibrahim hari ini merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
(FINAS) Damansara, sekali gus menandakan fasa baharu pengukuhan ekosistem
industri filem dan audiovisual negara dalam kerangka Ekonomi Jingga.
Ibu pejabat baharu tersebut menyatukan fungsi pembangunan industri, pelesenan dan
penguatkuasaan serta dokumentasi dan pengarkiban audiovisual negara di bawah
sebuah institusi yang lebih bersepadu, tangkas dan bersedia menghadapi perubahan
landskap kandungan digital.
Perasmian Menara FINAS turut mencatatkan detik bermakna, bertepatan dengan
tahun 2026 yang menandakan ulang tahun ke-45 penubuhan FINAS serta
memperingati 80 tahun legasi Malayan Film Unit–Filem Negara Malaysia.
FINAS ditubuhkan pada tahun 1981 dan mula beroperasi secara rasmi di Kompleks
Studio Merdeka, Hulu Kelang pada tahun 1988.
Malayan Film Unit pula ditubuhkan
pada 1 April 1946, dinamakan Filem Negara Malaysia pada tahun 1963 dan
digabungkan secara rasmi dengan FINAS pada 1 Januari 2013.
Dibangunkan di tapak berkeluasan 5.14 ekar, projek Menara FINAS bermula pada
20 Januari 2021, menerima Perakuan Siap dan Pematuhan pada 18 Disember 2025
serta Perakuan Siap Kerja pada 22 Mei 2026.
Selepas perpindahan secara
berperingkat, FINAS mula beroperasi sepenuhnya pada 6 Ogos 2026.
Antara kemudahan utama yang disediakan ialah Dewan Panca Delima, dua studio
Sound Stage, Pawagam Digital P. Ramlee berkapasiti 300 tempat duduk, ruang
latihan, Mediatheque FINAS, Museum of Moving Image serta Film Vault yang
menyimpan sebanyak 81,770 bahan arkib audiovisual negara.
Perasmian ini berlangsung dalam suasana Bulan Kebangsaan, bertepatan dengan
sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026 yang bertemakan “Malaysia
MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.
Tema ini selari dengan iltizam Kerajaan untuk
memastikan pembangunan industri kreatif bukan sahaja terus berkembang, malah
mampu mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperluas peluang secara saksama serta
meningkatkan kesejahteraan warga industri.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri
Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg.
Datuk Abdul Halim Hamzah; Tokoh Seni, Budaya dan Media, YBhg. Tan Sri Johan
Jaaffar; Pengerusi FINAS, Dato’ Dr. Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS,
YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib; Ahli-ahli Perbadanan FINAS dan penggiat
industri.
Menara FINAS terletak di No. 2, Jalan PJU 10/1E, Damansara Damai, 47830 Petaling
Jaya, Selangor.
Dikeluarkan oleh:
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
