
GENEVA, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya 47 orang maut dan 329 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, dalam siri serangan di seluruh Ukraine antara Jumaat hingga Selasa lalu, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Antara serangan paling dahsyat berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kryvyi Rih, wilayah Dnipro, yang menjadi sasaran serangan ‘double-tap’.
PBB mengutuk serangan terhadap orang awam dan menegaskan mereka mesti dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Serangan turut menyebabkan kerosakan pada kediaman, sekolah, kedai, kenderaan dan infrastruktur awam.
Di Kherson, serangan dron pada Ahad mencetuskan kebakaran di gudang Palang Merah Ukraine, memusnahkan bekalan bantuan bernilai lebih AS$500,000 (RM2.1 juta). Tiada kecederaan dilaporkan.
