KENYATAAN MEDIA Terkini:

MCMC SAMBUT BAIK PERUNTUKAN RM1 BILION BAGI MEMPERCEPAT PENDIGITALAN KESIHATAN AWAM

30 Ogos 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai tambahan peruntukan
RM350 juta menjadikan keseluruhan peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam termasuk memperluas ketersambungan Internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

Tambahan kepada peruntukan awal RM650 juta ini akan memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) dan melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan di hospital awam.

Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi Satu Individu, Satu Rekod sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam. Kerjasama rentas Kementerian (whole-of-government) ini dijangka mempercepat usaha pendigitalan dari tahun 2045 ke tahun hadapan.

Pendigitalan perkhidmatan kesihatan dapat memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu dan kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40.

Usaha ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.

MCMC menghargai komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri yang terus memberi keutamaan kepada langkah-langkah yang meringankan beban kewangan rakyat, di samping memperkukuh mutu dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan, demi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mudah diakses oleh rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *