
UNITED NATIONS, 3 September – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat susulan kematian kanak-kanak, kecederaan pekerja bantuan, krisis bekalan air serta kemusnahan komuniti Palestin.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata tiga kanak-kanak berusia tiga hingga 13 tahun terbunuh manakala sekurang-kurangnya lima lagi cedera di Gaza dalam tempoh 24 jam.
Tiga pengawal bantuan turut cedera ringan dalam pertempuran berhampiran Gaza, manakala dua rumah penginapan pekerja bantuan di Deir al-Balah rosak akibat serangan peluru.
Kira-kira sejuta penduduk Gaza juga berdepan kekurangan bekalan air untuk hari kedua berturut-turut.
Di Tebing Barat, PBB turut membangkitkan kebimbangan selepas komuniti Palestin Khirbet at-Taban di Masafer Yatta, Hebron, dilaporkan dimusnahkan, menyebabkan puluhan penduduk kehilangan tempat tinggal.
PBB menegaskan komitmennya terhadap penyelesaian dua negara meskipun konflik di rantau itu berterusan.-REUTERS
