




Kerajaan Madani tidak pernah pinggirkan kaum India – PMX
3 September 2026
Perdana Menteri menegaskan, masyarakat India tidak akan sesekali dipinggirkan oleh Kerajaan MADANI yang dipimpinnya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, memperkukuh MITRA, memperkasa latihan keusahawanan dan TVET serta membuka lebih banyak ruang pembangunan belia melalui program mentor-mentee kepada mereka.
Dalam masa yang sama, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, segala kelompongan yang masih wujud, termasuk berkaitan kemiskinan, kewarganegaraan dan akses kepada bantuan, akan ditangani dengan segera dan berkesan.
“Kementerian dan agensi berkaitan perlu memperkukuh sinergi dan memperkemas penyampaian supaya setiap peruntukan serta dasar yang digerakkan benar-benar sampai kepada sasaran dan membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan rakyat,” ujarnya.
Perdana Menteri demikian dalam catatan di media sosialnya selepas selesai mengadakan sesi libat urus bersama pimpinan masyarakat India di pejabatnya.
Sesi itu diadakan bagi meneliti kemajuan pelaksanaan agenda Kerajaan MADANI, di samping mendengar pandangan serta keresahan yang masih membelenggu komuniti ini.
Melalui sesi itu, pelbagai ikhtiar telah digerakkan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.
