AS kenakan sekatan terhadap bank Turkiye kerana bantu Iran

WASHINGTON, 5 September – Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengenakan sekatan terhadap bank pelaburan Turkiye, Golden Global Yatirim Bankasi Anonim Sirketi, dan dua anak syarikatnya kerana didakwa membantu memudah cara perdagangan serta urus niaga kewangan berkaitan Iran.

Jabatan Perbendaharaan AS mendakwa bank berpangkalan di Istanbul itu membantu rangkaian perbankan Iran memindahkan hasil minyak dari China ke Turkiye sebelum ditukar kepada tunai dan emas melalui pengurup wang.

Golden Global turut didakwa menyediakan perkhidmatan perbankan kepada institusi kewangan Iran bagi urus niaga melalui akaun yang dikawal Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC-QF) dan rangkaian proksinya.

Tindakan itu merupakan kali pertama sebuah bank anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dikenakan sekatan dalam kempen terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran.

Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) memasukkan ketiga-tiga entiti berkenaan ke dalam Senarai Warganegara dan Individu yang Ditetapkan Secara Khusus (SDN), sekali gus membekukan aset mereka yang berada di AS atau dalam kawalan individu atau syarikat AS serta melarang urus niaga tertentu.

Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent berkata tindakan itu memberi mesej jelas kepada institusi kewangan yang membantu perdagangan dan urus niaga berkaitan Iran serta IRGC.

Sementara itu, Golden Global Yatırım Bankası menolak dakwaan berkenaan dan berkata pihaknya mematuhi semua keperluan perbankan serta pematuhan tempatan dan antarabangsa. Bank itu juga menegaskan individu dan entiti yang dinamakan OFAC bukan pelanggannya serta tiada urusan secara langsung atau tidak langsung dengan mereka.

Menurut TheBanks.EU, Golden Global Yatirim Bankasi mempunyai aset kira-kira 25 bilion lira Turkiye atau AS$516.63 juta pada 2025. – REUTERS

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *