
5 September 2026
KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) arah selatan bakal menikmati perjalanan lebih lancar apabila laluan susur baharu sepanjang 400 meter berhampiran Persimpangan Seri Kembangan dibuka kepada trafik pada Isnin ini.
Projek pelebaran bernilai RM5.22 juta itu dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti trafik dari Plaza Tol Mines Selatan menuju ke UPM, Balakong dan Putrajaya, khususnya ketika waktu puncak.
Pembukaan laluan berkenaan dijangka dapat mengurangkan kesesakan serta memperkemas aliran trafik di laluan terbabit, sekali gus memberikan perjalanan yang lebih selesa kepada pengguna BESRAYA.
Dalam perkembangan sama, laluan tidal dari KM5.3 hingga KM3.8 arah selatan akan ditamatkan susulan pembukaan laluan baharu itu.
Langkah berkenaan merupakan antara usaha meningkatkan keupayaan rangkaian lebuh raya dan memastikan kelancaran pergerakan pengguna, terutama di kawasan yang mencatatkan jumlah trafik tinggi.
