PBB gesa bantuan dipertingkat menjelang musim sejuk di Gaza

NEW YORK, 9 September – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa peningkatan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi menghadapi musim sejuk, ketika puluhan ribu penduduk masih memerlukan rawatan dan pemulihan jangka panjang.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, kekangan akses, keadaan tidak selamat dan kekurangan dana terus menjejaskan penghantaran bantuan penting kepada penduduk Gaza.

Beliau berkata, kira-kira 43,000 penduduk memerlukan perkhidmatan pemulihan jangka panjang, namun akses kepada rawatan khusus masih amat terhad.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini membantu lebih 9,000 orang, hampir separuh daripadanya kanak-kanak, melalui perkhidmatan pemulihan yang diperluaskan di beberapa hospital.

PBB turut menggesa akses kepada ubat-ubatan serta bekalan kemanusiaan dipercepatkan dan tidak dihalang bagi mengelakkan keadaan kemanusiaan bertambah buruk menjelang musim sejuk. – REUTERS

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *