








KUALA LUMPUR, 11 September 2026 — Suara dan pengalaman sebenar wanita perlu menjadi asas kepada pembentukan dasar supaya setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar menjawab keperluan golongan itu, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Beliau berkata, dapatan Kajian Suara Wanita 2025/2026 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai angka dan statistik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada perubahan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan wanita Malaysia.
Menurutnya, kajian berkenaan membawa lima hala tuju dasar utama yang perlu diberi perhatian kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil.
Lima fokus tersebut meliputi pemerkasaan penyertaan wanita dalam ekonomi, perlindungan sepanjang tempoh bekerja dan tanggungjawab keluarga, perlindungan undang-undang serta penguatkuasaan berkesan, peningkatan penyertaan politik wanita kepada tahap akauntabiliti institusi dan memastikan bantuan kerajaan mudah diakses.
“Dasar yang baik bermula daripada dasar yang mendengar. Ia bukan sekadar angka dan statistik, tetapi merupakan suara sebenar wanita Malaysia mengenai perkara yang membebankan mereka, harapan serta keperluan mereka daripada negara ini.”
Wan Azizah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Wanita Mendunia dan Pelancaran Kajian Suara Wanita (National Women’s Survey 2025/2026) di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Cheras, pada Ahad.
PENYERTAAN POLITIK WANITA MASIH RENDAH
Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang berada di tempat ke-128 daripada 148 negara dalam aspek pemerkasaan politik wanita menunjukkan masih terdapat ruang besar untuk memperluas peluang dan akses kepada wanita.
Kajian itu turut mendapati 62.7 peratus responden berpandangan wanita masih kurang diwakili di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini menunjukkan persoalannya bukan tentang keupayaan wanita, tetapi peluang dan akses yang masih perlu diperluaskan,” katanya.
KOS SARA HIDUP JADI KEBIMBANGAN UTAMA
Dalam pada itu, kos sara hidup dikenal pasti sebagai kebimbangan paling besar dalam kalangan wanita yang dikaji, dengan 54.2 peratus responden menyifatkannya sebagai isu yang paling memberi kesan terhadap kehidupan seharian.
Menurut Wan Azizah, dapatan berkenaan perlu menjadi perhatian dalam perancangan dasar kerana ia mencerminkan realiti kehidupan yang dihadapi wanita.
Beliau menegaskan, hasil kajian perlu bergerak daripada laporan kepada tindakan supaya suara wanita yang telah dikumpulkan tidak sekadar berakhir di atas kertas.
“Suara wanita yang dikumpulkan melalui kajian ini tidak seharusnya sekadar tinggal di atas kertas, tetapi perlu diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kehidupan wanita Malaysia.”
Kajian Suara Wanita 2025/2026 melibatkan lebih 1,000 wanita di seluruh Malaysia, selain hampir 270 wanita menerusi sesi Wanita Mendunia serta penglibatan komuniti di pelbagai zon.
Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Suluh Centre dan semua rakan strategik yang menjayakan Karnival Wanita Mendunia serta kajian berkenaan, yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh perbincangan dan pembentukan dasar berkaitan wanita.
