


13 September 2026
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni tiga keluarga kurang berkemampuan di daerah Kluang, hari ini (13 September).
Berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda ialah YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Turut mengiringi baginda berdua ialah Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor, Datin Siti Azizah Omar dan Pegawai Daerah Kluang, Azurawati Wahid.
Lawatan dimulakan di kediaman warga emas berumur 102 tahun, Saimah Sajiman, di Kampung Rahmat, Kluang.
Beliau kini dijaga oleh cucunya, Hairul Nizam, yang turut menyara lima ahli keluarga di kediaman tersebut.
Seterusnya, Seri Paduka Baginda menyantuni Sivabalan Nundakumul, 28, yang menjaga ibunya, seorang pesakit strok dan sawan.
Lawatan diakhiri di kediaman Loh Yee Teng, 52, seorang mekanik yang menghidap penyakit kencing manis dan perlu menyara sembilan orang isi rumah.
Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.
Selain itu, bantuan keperluan khusus bagi setiap keluarga turut disalurkan menerusi Yayasan-Yayasan DiRaja Johor iaitu Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah.
Inisiatif berkenaan merangkumi kerja-kerja pembaikan rumah serta sumbangan perabot baharu seperti katil, almari, serta meja dan kerusi belajar.
