
KOTA KINABALU, 13 September – Cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu mengambil kira nisbah perwakilan, bukan sekadar menambah jumlah kerusi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata SPR akan menjalankan kajian terperinci sebelum cadangan itu dibawa kepada Jemaah Menteri.
Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan memastikan suara Sabah dan Sarawak lebih mencerminkan kepentingan rakyat serta selaras dengan semangat MA63 dalam proses membuat keputusan di Parlimen.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan persetujuan kerajaan untuk meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, memaklumkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya akan dilaksanakan tertakluk kepada pindaan Perlembagaan.
