
PUTRAJAYA, 14 September – Kerajaan sedang meneliti tawaran Amerika Syarikat untuk menyerahkan sebuah lagi kapal peronda kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pemeriksaan teknikal akan dilakukan bagi menilai tahap keselamatan, kelayakan operasi dan kos baik pulih kapal berkenaan.
Beliau berkata keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran itu akan dibuat selepas laporan dan syor dikemukakan oleh KSU KDN bersama pakar APMM serta jurutera.
Kerajaan juga tidak akan menerima tawaran sekiranya kos baik pulih terlalu tinggi dan membebankan.
Sebelum ini, Malaysia menerima sebuah kapal melalui inisiatif sama yang telah dibaik pulih dan kini digunakan APMM bagi operasi di Sabah.
Penambahan aset berkenaan dilihat penting untuk memperkukuh kawalan perairan negara termasuk membanteras penyeludupan, kemasukan pendatang asing serta pencerobohan nelayan dan kapal asing.
