BRICS PERLU BERANI BERSUARA TOLAK PENJAJAHAN, KEGANASAN PERDAGANGAN TIDAK ADIL – PMX

NEW DELHI, 14 September 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara BRICS supaya memperkukuh kerjasama dan berani menyatakan pendirian terhadap isu global termasuk ketidakadilan ekonomi, perdagangan tidak adil, penjajahan serta keganasan.

Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi hari ini, Perdana Menteri berkata sistem pembiayaan antarabangsa perlu diperbaharui supaya lebih adil dan tidak menyebabkan negara membangun terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak tertanggung.

Beliau berkata keadaan itu penting ketika banyak negara masih berdepan kekangan ekonomi, termasuk apabila perbelanjaan membayar faedah hutang mengatasi kemampuan untuk meningkatkan peruntukan bagi sektor pendidikan dan kesihatan.

PERKUKUH PEMBIAYAAN DAN PERDAGANGAN

Anwar turut menekankan keperluan mempercepatkan inisiatif melalui New Development Bank (NDB), memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serta memanfaatkan potensi pasaran modal Islam.

Menurut beliau, negara-negara BRICS juga perlu mengambil langkah nyata bagi merungkai amalan perdagangan tidak adil, berkongsi pengalaman pembangunan serta memperkukuh kerjasama dalam bidang baharu seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

PERALIHAN HIJAU PERLU REALISTIK

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata agenda peralihan hijau perlu mengambil kira realiti dan tahap pembangunan setiap negara kerana tidak semua negara mempunyai kemampuan untuk bergerak pada kadar atau menggunakan pendekatan yang sama.

Beliau berkata BRICS mempunyai kelebihan geoekonomi menerusi pasaran yang luas, sekali gus membuka peluang untuk mempelbagaikan perdagangan, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat dan menjana kemakmuran bersama.

MALAYSIA TEGAS SOAL KEDAULATAN DAN KESELAMATAN

Anwar turut menegaskan bahawa pertumbuhan terangkum sukar dicapai selagi peperangan terus melonjakkan harga tenaga dan mengancam laluan laut yang menjadi nadi ekonomi dunia.

Beliau berkata konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada negara yang tidak terlibat secara langsung melalui tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.

“Pendirian Malaysia jelas: kedaulatan mesti dihormati, orang awam dilindungi dan laluan utama ekonomi dunia tidak boleh dijadikan medan pertempuran,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia percaya BRICS perlu berani menyatakan pendirian bahawa pendudukan haram, penjajahan dan keganasan tidak boleh terus dibiarkan, selain menegaskan setiap nyawa manusia wajib dipertahankan tanpa mengira lokasi.

MALAYSIA SEDIA SUMBANG KEPADA BRICS

Menyentuh konsep autonomi strategik, Anwar berkata ia membawa maksud kebebasan menentukan haluan serta keberanian mempertahankan pendirian ketika berdepan cabaran.

Sebagai Negara Rakan BRICS, beliau menegaskan Malaysia bersedia memberikan sumbangan dengan semangat tersebut demi memperkukuh kerjasama dan membentuk sistem ekonomi serta geopolitik dunia yang lebih adil dan seimbang.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *