



NEW DELHI, 14 September 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan Malaysia sebagai gerbang ke ASEAN kepada komuniti perniagaan India, Malaysia dan negara-negara Teluk dalam usaha meneroka potensi baharu kerjasama ekonomi.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi bersama wakil hampir 30 syarikat daripada pelbagai industri, termasuk perubatan dan kesihatan, semikonduktor, pembinaan, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan maklumat, kejuruteraan, peruncitan, tenaga serta pengangkutan.
Menurut Anwar, kedudukan Malaysia dalam rantau ASEAN yang aman dan mempunyai ekonomi yang terus berkembang menyediakan ruang luas kepada pelabur untuk mengembangkan operasi serta pasaran.
Beliau turut menekankan potensi menggabungkan kekuatan India dalam teknologi dan semikonduktor dengan keupayaan Malaysia bagi meningkatkan daya saing serta memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
ILMU DAN BUDAYA YANG BERKEMBANG
Dalam masa sama, Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Kerala mempunyai akar sejarah yang panjang menerusi hubungan perdagangan, agama, ilmu dan budaya yang berkembang sejak era pesisir Malabar.
Katanya, sejarah tersebut wajar diterjemahkan kepada bentuk kerjasama ekonomi yang lebih kukuh dan memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak.
Anwar turut mengundang pelabur dari Kerala dan negeri-negeri sekitarnya untuk meneroka peluang yang tersedia di Malaysia, selain menggalakkan syarikat Malaysia memperluas operasi mereka di Kerala serta pasaran India.
“Insya-Allah, hubungan akrab yang terjalin akan terus diperkasa melalui peluasan perdagangan dan pelaburan demi kemakmuran bersama,” katanya.
Langkah itu dilihat membuka ruang lebih luas kepada pengukuhan hubungan ekonomi Malaysia-India, khususnya dalam bidang berimpak tinggi serta sektor teknologi masa depan.
