π—π—œπ—  π—šπ—˜π— π—£π—¨π—₯ π—§π—”π—£π—”π—ž 𝗣π—₯π—’π—π—˜π—ž π—›π—”π—‘π—šπ—”π—₯ π—£π—˜π—¦π—”π—ͺ𝗔𝗧 π——π—œ π—¦π—˜π—£π—”π—‘π—š, 𝟭𝟳𝟯 π—ͺ𝗔π—₯π—šπ—” π—”π—¦π—œπ—‘π—š π——π—œπ—§π—”π—›π—”π—‘, 𝗦𝗬𝗔π—₯π—œπ—žπ—”π—§ π—¦π—¨π—•π—žπ—’π—‘π—§π—₯π—”π—žπ—§π—’π—₯ π——π—œπ—£π—˜π—₯π—œπ—žπ—¦π—”

15 September 2026

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya menerusi Bahagian Penguatkuasaan telah melaksanakan operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan hangar, bay gudang serta fasiliti pengujian enjin kapal terbang yang terletak berhampiran sebuah pusat sukan permotoran bertaraf antarabangsa di Sepang pada 15 September 2026.

Serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan selama satu minggu. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 88 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke kawasan tersebut dan telah membuat pemeriksaan ke atas 261 individu terdiri daripada 217 warganegara asing dan 44 warganegara tempatan. Pemeriksaan turut melibatkan pekerja yang diambil bekerja oleh syarikat-syarikat subkontraktor yang terlibat dalam projek tersebut.

Modus operandi mereka dikesan apabila majikan menggajikan warga asing ini di pusat pembinaan tersebut dengan menggunakan PLKS syarikat lain serta menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai tindakan mengaburi mata pihak berkuasa. Hasil pemeriksaan ke atas kawasan tersebut, JIM telah menahan seramai 173 warga asing berumur di antara 23 hingga 40 tahun yang terdiri daripada 147 lelaki warganegara Bangladesh, 17 lelaki warganegara Indonesia serta 9 lelaki warganegara Pakistan. Kesemua warga asing tersebut ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Per. 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Semasa operasi dijalankan, sebanyak lima (5) Borang 29 (Saman kepada Saksi) telah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan. Kesemua warga asing tersebut telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan Imigresen dilaksanakan merentasi semua sektor, termasuk industri pembinaan, logistik serta fasiliti sokongan industri penerbangan. Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang Imigresen, termasuk majikan atau pihak yang menggaji dan melindungi PATI tanpa mematuhi peraturan yang berkuatkuasa.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *