12 INDIVIDU DITAHAN: POLIS RAMPAS 418KG BUNGA GANJA BERNILAI RM33.4 JUTA

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan kegiatan penyeludupan dan pengedaran bunga ganja bernilai RM33.4 juta selepas menahan 12 individu disyaki terlibat sebagai keldai dadah dan runner dalam beberapa serbuan di KLIA dan Sepang.

Operasi yang dijalankan antara 28 Ogos hingga 21 September itu membawa kepada rampasan 671 bungkusan bunga ganja seberat 418 kilogram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki dan tujuh wanita warga asing.

Menurut beliau, suspek warga asing dipercayai direkrut sebagai keldai dadah selepas ditawarkan pekerjaan serta pakej pelancongan dari negara asal sebelum diarahkan membawa pulang bagasi yang bukan milik mereka.

Pemeriksaan mendapati dadah disembunyikan di dalam bagasi berkenaan.

Sementara itu, seorang suspek warga tempatan dipercayai bertindak sebagai runner yang membekalkan dadah kepada keldai dadah dan dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan sejak awal 2026.

Polis turut percaya kesemua suspek yang ditahan mempunyai kaitan dengan sindiket berasingan.

Kesemua kejayaan tersebut dibentangkan pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor hari ini.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *