KARYA PMX ‘RETHINKING OURSELVES’DITERJEMAH KE BAHASA MANDARIN, PERKUKUH JAMBATAN KEFAHAMAN MALAYSIA – CHINA

24 September 2026 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa terharu apabila karya beliau, Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times, kini secara rasmi diterbitkan dalam terjemahan bahasa Mandarin.

LANGKAH MURNI

Anwar berkata, usaha tersebut merupakan satu langkah murni yang diharapkan dapat memperluas medan pertemuan serta pertukaran pemikiran, budaya dan peradaban antara masyarakat.

Menurut beliau, buku berkenaan bukan berbentuk memoir atau autobiografi, sebaliknya menghimpunkan renungan mengenai penjajahan dan imperialisme, kebangkitan negara-negara merdeka, pencarian serta pemurnian jati diri bangsa, selain usaha membina negara bangsa dan masa depannya berasaskan keadilan, kemanusiaan serta kemakmuran bersama.

Dalam konteks hubungan Malaysia dan China, Anwar berkata perbezaan tidak semestinya membawa kepada pertentangan.

Beliau berkata hubungan antara masyarakat dan peradaban Malaysia serta China telah terbina sejak berabad lamanya melalui perdagangan, kebudayaan, sikap saling menghormati dan pertukaran ilmu.

“Dalam dunia yang semakin berantakan disebabkan prasangka dan ketidakyakinan, jambatan kefahaman semacam ini harus terus diperkukuh,” katanya.

MENGANGKAT MARTABAT MANUSIA

Anwar turut menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya terperangkap dalam dikotomi Timur atau Barat.

Menurut beliau, daripada pemikiran Confucius dan Mencius sehingga Shakespeare, termasuk tradisi Islam serta khazanah pemikiran pelbagai peradaban, perkara yang perlu dijunjung ialah hikmah yang mengangkat martabat manusia.

Beliau berkata prinsip kebenaran, keadilan, ihsan dan rasa hormat antara insan perlu terus menjadi asas dalam membina hubungan serta kehidupan bersama.

Pada akhirnya, katanya, persoalan besar zaman ini bukan semata-mata mengenai siapa yang muncul dari Timur atau Barat, bangsa atau anutan seseorang, tetapi sejauh mana manusia mampu menemukan kembali nilai kemanusiaan yang menyatukan semua pihak.

“Kita perlu membina kesejagatan yang adil dan saksama untuk semua.”

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *