RAJA PERMAISURI AGONG BERKENAN BERANGKAT KE SESI PERTEMUAN BERSAMA PELAJAR PALESTIN

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah merangkap Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkenan berangkat ke “UTM Chancellor’s Engagement with Palestinian Students” yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru pada hari ini. (25 September)

Program bertemakan “From Gaza to Malaysia: Palestinian Voices of Resilience, Hope and Rebuilding” ini dianjurkan sebagai wadah dialog yang menghimpunkan suara komuniti Palestin di Malaysia, merangkumi golongan akademik serta para pelajar.

Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor. Turut hadir, Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kagum dan terharu atas semangat ketabahan yang ditunjukkan oleh rakyat Palestin dalam mendepani ujian yang amat berat.

“Rakyat Palestin telah membuktikan kepada seluruh dunia erti keberanian dan ketabahan. Di sebalik segala cabaran, penderitaan serta kesusahan yang amat perit, mereka telah menzahirkan nilai keimanan yang sebenar.

“Saya berbesar hati dan berasa penuh tawaduk bertemu dengan anak-anak muda yang telah melalui kehilangan insan tersayang dan tempat tinggal, namun tetap menunjukkan keteguhan jiwa serta semangat yang tidak dapat dipatahkan.

“Semoga Allah SWT membalas ketabahan mereka dengan ganjaran keberkatan yang melimpah-ruah di dunia dan di akhirat,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Sesi dialog berkenaan turut menyaksikan para panelis berkongsi pengalaman mengenai ketabahan hidup, suka duka sepanjang menuntut ilmu di UTM, serta aspirasi dalam menyumbang kepada pemulihan dan pembangunan semula Gaza, terutamanya dalam sektor pendidikan dan pembangunan insan.

Sesi perkongsian ini menampilkan Dr. Mohamad S. J. Darwish, Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam UTM; Cik Sabreen M. M. Eleyan, pelajar PhD Seni Bina dari Fakulti Alam Bina dan Ukur merangkap penerima Biasiswa UTM Serambi Al-Quds; Encik Saifeddin Mithqal Hasan Meqbil dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM yang juga penerima Biasiswa Bseisu-UTM, serta Puan Ghada Alhaddad selaku ahli Jawatankuasa Palestin di Malaysia.

Bagi meringankan beban dan menzahirkan keperihatinan, Raja Permaisuri Agong turut berkenan mengurniakan sumbangan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor kepada para pelajar dan keluarga warga Palestin yang hadir pada majlis tersebut.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *