
SEPANG, 1 Oktober 2026 – Formula 1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun, dengan Malaysia kini bersedia menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sempat berkongsi perkembangan persiapan penganjuran perlumbaan itu bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, ketika berada di Litar Antarabangsa Sepang.
KERJASAMA ERAT ANTARA MALAYSIA DAN BAHRIN
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain dalam menjayakan penganjuran acara berkenaan.
Menurut beliau, segala persiapan kini giat dilaksanakan bagi menyambut kehadiran peminat dan pengunjung dari seluruh dunia.
SEMBILAN TAHUN SELEPAS F1 TERAKHIR DI SEPANG
Sepang mempunyai sejarah panjang dalam Formula 1. Litar itu mula menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia pada 1999, dengan perlumbaan sulung dimenangi Eddie Irvine bersama Ferrari.
Sepanjang tempoh 1999 hingga 2017, Sepang menjadi lokasi Grand Prix Malaysia sebanyak 19 kali sebelum perlumbaan Formula 1 berakhir di Malaysia selepas edisi 2017.
Perlumbaan terakhir pada 2017 dimenangi Max Verstappen, diikuti Lewis Hamilton di tempat kedua dan Daniel Ricciardo di tempat ketiga.
LEMBARAN BAHARU BUAT SEPANG
Kepulangan Formula 1 pada 2026 sekali gus membuka kembali lembaran baharu buat Sepang selepas sembilan tahun tanpa perlumbaan F1.
Untuk penganjuran kali ini, Sepang menjadi venue bagi Bahrain Grand Prix, selepas perlumbaan Bahrain yang asalnya dijadualkan pada April tidak dapat berlangsung pada slot tersebut. Malaysia kemudian dipilih sebagai lokasi penganjuran pada awal Oktober.
SEPANG KEMBALI MENJADI PENTAS DUNIA
Litar Antarabangsa Sepang mempunyai panjang 5.543 kilometer, 15 selekoh dan perlumbaan sebanyak 56 pusingan. Rekod pusingan terpantas kini ialah 1 minit 34.080 saat, dicatat Sebastian Vettel pada 2017.
Litar berkenaan terkenal dengan kombinasi laluan lurus yang panjang, selekoh berkelajuan tinggi serta cuaca panas dan lembap yang boleh berubah dengan pantas.
Anwar turut menyatakan beliau menantikan pertemuan dengan Putera Salman di Malaysia dalam beberapa hari lagi, sambil berharap hubungan persahabatan antara Malaysia dan Bahrain terus diperkukuh.
Penganjuran Formula 1 2026 bukan sahaja menandakan kembalinya F1 ke Sepang selepas sembilan tahun, malah menjadi sebahagian daripada kerjasama Malaysia-Bahrain dalam menjayakan acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa.
