
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2026 atas kepimpinan cemerlang dan sumbangan berimpak kepada mahasiswa, universiti serta masyarakat.
Beliau pernah menerajui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, selain menjadi ahli Senat UUM dan Ketua Penerangan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Antara pencapaian utamanya ialah memimpin Kempen Solidariti Mangsa UPSI Nahas Gerik yang berjaya mengumpulkan RM290,651.51 bagi bantuan kepada mangsa.
Dalam kategori kumpulan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) menerima Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa selepas menganjurkan lebih 650 program yang memberi manfaat kepada lebih 195,000 peserta serta memperoleh tajaan RM748,807.50.
Majlis ATSN 2026 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
