META AKUI KESILAPAN TEKNIKAL JEJAS SEBAHAGIAN AKAUN WHATSAPP

CYBERJAYA, 3 Oktober 2026 – Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp sehingga menyebabkan aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan, sekali gus mengakibatkan penggantungan sebahagian akaun pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima maklum balas daripada Meta berhubung isu penggantungan akaun WhatsApp yang dikemukakan kepada syarikat berkenaan sebelum ini.

Menurut MCMC, kesilapan teknikal itu dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakan kepada Meta.

Meta memaklumkan bahawa masalah berkenaan telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.

Meta turut mengesahkan bahawa tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.

KES PENGGANTUNGAN MELIBATKAN PELBAGAI FAKTOR

Bagi kes lain, Meta menjelaskan bahawa penggantungan akaun turut dipengaruhi beberapa faktor, termasuk penggunaan nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan oleh sistem keselamatan WhatsApp.

Laporan pengguna juga merupakan salah satu faktor yang dinilai, namun bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun.

Bagi akaun perniagaan, penghantaran mesej tanpa persetujuan penerima atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada individu yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.

Sehubungan itu, pengguna perniagaan disarankan mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal bagi mengelakkan aktiviti mereka dikenal pasti sebagai spam.

MCMC DESAK PENAMBAHBAIKAN PROSES RAYUAN

MCMC telah meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna yang terjejas menerima pengesahan, maklumat status semakan serta maklum balas mengenai tindakan yang diambil dengan lebih jelas dan pantas.

Pengguna yang akaunnya digantung disarankan menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp bagi mendapatkan semakan terhadap akaun masing-masing.

MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak serta memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun mereka.

Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah yang diambil oleh Meta didapati tidak memadai.

BERITATERKINI

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *