
ALAMEIN, Mesir, 4 Oktober – Presiden Ghana John Mahama menggesa negara-negara Afrika memperkukuh pengeluaran ubat dan vaksin tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import serta memastikan keselamatan kesihatan benua itu.
Beliau berkata puluhan bilion dolar mengalir keluar dari ekonomi Afrika setiap tahun untuk mendapatkan bekalan ubat dan vaksin dari luar benua, justeru usaha mencapai kedaulatan kesihatan perlu dipercepatkan.
Menurut Mahama, pembangunan industri farmaseutikal tempatan bukan sahaja dapat menjamin bekalan ketika krisis kesihatan seperti COVID-19 dan Ebola, malah mewujudkan pekerjaan, mengurangkan kos serta menarik pelaburan.
Beliau turut menggesa kerajaan, institusi kewangan dan pengeluar memperkukuh mekanisme pelaburan, mempercepatkan pelaksanaan agensi ubat-ubatan Afrika serta membangunkan keupayaan menghasilkan bahan aktif farmaseutikal di benua itu.
Mahama berkata pertumbuhan penduduk dan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) turut menyediakan pasaran besar untuk industri farmaseutikal tempatan.
Beliau berkata demikian pada Forum Afrika Alamein di New Alamein, Mesir, yang menghimpunkan kira-kira 1,500 pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, pelabur dan wakil institusi kewangan dari seluruh Afrika. – VIORY
