





4 Oktober 2026
(Catatan penulis –
Bermula dengan sarapan pagi yang enak )
Port Dickson – Selepas Solat Subuh, ketika kokok ayam mula sirna dan sinaran fajar mula menebarkan kelopak cahaya paginya yang berkemilau ke serata pelosok alam, saya ditemani Ketua Pengarang Kumpulan Jendela Madani Noraini Nordin berkereta dari perkarangan White House di Kampung Jimah Baru , destinasi utama Pusat Latihan Jendela Madani menuju ke Kampung Jimah Lama memburu sarapan pagi terpaling enak di Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.
Warung yang kami tuju awal pagi ini sememangnya amat terkenal dengan pelbagai sarapan terpaling enak seperti nasi lemak, kueteow, mee goreng, nasi goreng, donat, karipap, kuih kasturi atau kuih kacang, pau kelapa, cekodok pisang dan pelbagai juadah yang meriah setiap hari.
Awal pagi minggu sememangnya waktu paling tepat ketika jalan raya masih lenggang dan jemaah masjid di surau berhampiran masih berzikir dan beratip memuja, memuji nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang yang sentiasa mencurahkan rezeki kurniaanNya tanpa pilih kasih.
Kami tidak boleh lambat awal pagi itu sebelum warung sarapan pagi di Kampung Lama itu diserbu penduduk, pemandu yang lalu lalang dan jemaah usai Solat Subuh.
Benar, telah tertulis pagi itu rezeki kami dapat tiba awal dalam tempoh lebih kurang 15 minit dari Kampung Jimah Baru ketika baru ada seorang dua sudah menikmat sarapan pagi.
Ya, sebaik tiba kami terus melihat-lihat juadah yang disediakan pagi itu sememangnya ‘wow’ dan meriah dengan kuih muih pujaan hati yang membuatkan air liuh merenjis dan berkocak hebat.
“Tengok ni Sahidan…” Noraini menunjukkan deretan kuih muih yang menjadi kegemarannya sedari zaman kanak-kanak lagi.
“Ini cekodok pisang memang favourite aku. Ni kuih kacang (kasturi), pau kelapa, ini semua kuih muih tradisi kita yang tersedap zaman berzaman” usik Noraini sambil tergelak kecil.
Memang tidak dinafikan lagi, warung makcik di Kampung Jimah Lama ini antara warung kegemaran ramai penduduk tempatan dan pengguna jalanraya.
“Memang kalau lambat, minta maaflah, kuih muih ini boleh ghaib dalam sekelip mata. Sebelum orang serbu kita bungkus dulu! Haha” Norain ketawa spontan.
“Nak minum apa?” tanya makcik warung itu.
“Bagi teh tariklah,” balas Noraini.
Saya pula memesan Milo panas sebagai pembuka selera pagi itu dengan sebungkus nasi dengan paha ayam goreng. Memang sedap nasi cuma berharga RM1.50 sebungkus yang tidak mungkin dapat dibeli di Lembah Kelang dengan harga marhain serendah itu.
Biasanya sebungkus nasi lemak di Kuala Lumpur sekitar RM3 hingga RM3.50 sebungkus tanpa telor mata. Jika ditambah ayam goreng harganya meroket sehingga RM10 sepinggan berbanding masih harga terendah di Jimah Lama RM4.50 jika ditambah seketul ayam goreng.
Semasa kami makan, seorang demi seorang pelanggan mula masuk untuk bersarapan pagi.
Noraini meminta makcik itu membungkus 18 bungkus nasi lemak bersama karipap, kuih kacang, donat dan cekodok untuk dinikmati bersama 18 peserta kursus Jendela Madani di White House nanti.
MURAH DAN ENAK
Bayangkan dengan harga nasi lemak RM1.50 dan kuih muih berharga 40 sen sebiji , Noraini hanya membayar tidak sampai RM50.
Nasi lemak sedap,kuih muih sedap, murah, di bumi mana lagi yang terbaik dan menyeronokkan berjalan-jalan di awal pagi ketika embun sedang menitis, beburung berkicau riang bertengger di ranting nan bergerigis? Nikmat Allah yang manakah hendak didustakan?
Alhamdulillah selepas bersarapan pagi ala kadar mengalas perut, kami bergerak pulang menuju ke Kampung Jimah baru melalui jalan tar yang cantik membelah laluan Kampung Jimah Lama.
Alangkah indahnya suasana pagi di Kampung Jimah Lama ini tatkala kabus menyapa cermin kereta, sang mentari baru memunculkan diri dan manusia mula terbangun memuja memuji kebesaran Allah.
Sambil memandu pulang, saya kagum apabila melihat deretan rumah teres, projek rumah banglow dan kilang mula dibangunkan dengan begitu pesat berhampiran kawasan sekitar.
Tidak lama lagi tempiasnya pasti melanda kawasan Jimah Lama dan Jimah Baru ini bakal menjadi bandar moden seperti ‘Bandar Sendayan’ ketika ramai orang mula gelap mata mendapat tawaran lumayan supaya menjual tanah kelahiran tumpah darah mereka ini demi menjadi ‘jutawan segera’.
BENTENG TERAKHIR
Hampir 15 minit berkereta melihat-lihat panorama pagi, tidak sedar kami tiba di White House, Pusat Latihan Jendela Madani yang menjadi benteng terakhir, mempertahankan desa dan tanah air tercinta ini.
Sebenarnya, saya adalah antara peserta kursus terbaharu siri ke-3 anjuran Jendela Madani yang mendapat kerjasama penuh Malaysian Press Institute (MPI).
Saya juga merasa beruntung dapat belajar secara bersemuka bersama penceramah kursus, Kamarulzaman Yaacob yang berpengalaman selama 28 tahun di BERNAMA datang memberikan ceramah bertajuk Visibility Search Engine Optimization (SEO) khusus bagi mengajar peserta kursus mengenai kepentingan SEO di Google sebagai cara terbaik mengenalpasti keberkesanan capaian pengguna media sosial di Internet bagi mendapatkan maklumat terbaru yang diingini dengan cepat dan pantas.
Berada di Jendela Madani dikelilingi generasi GenZ, wartawan muda, pensyarah yang memiliki Ph.D tidak pernah membuatkan saya begitu terasing selama dua hari pada 3 dan 4 Oktober 2026 lalu.
Saya berpegang kepada hadis Nabi yang sentiasa menggalakkan umatnya menuntut ilmu selaras dengan hasrat Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan rakyat taksub ilmu disamping menguasai AI atau kecerdasan buatan yang kini sedang memacu dunia ke arah ledakan revolusi maklumat terbaru yang tanpa disedari semakin mengancam nyawa, keselamatan manusia dan makhluk di planet bumi.
Saya optimis, Jendela Madani dengan semboyan gagahnya “Suara Merentasi Dunia” mampu menyalurkan maklumat tepat dan cepat ketimbang maklumat tidak sahih dan palsu yang berleluasa di media sosial.
Sebagai jenama Portal Berita Semasa yang masih muda dan paling dipercayai ramai, perjalanan Jendela Madani dalam masa singkat berjaya mendepani era digital dengan gabungan sajian rencana dan berita esklusif di media sosial seiring dengan aspirasi Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melahirkan masyarakat Madani yang berilmu, hidup sejahtera dan harmoni.
