
LABUAN, 7 Oktober 2026 – Kompleks Kementerian Komunikasi Labuan yang dibangunkan dengan kos RM9.5 juta kini menjadi kemudahan bersepadu bagi memperkukuh penyampaian maklumat dan ekosistem digital di Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, menyempurnakan perasmian kompleks berkenaan hari ini, yang menyatukan empat agensi di bawah Kementerian Komunikasi iaitu Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kompleks tersebut dibina di atas tapak berkeluasan 4,789 meter persegi, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memantapkan penyelarasan dan kerjasama dalam penyampaian maklumat, penyiaran, kewartawanan serta pertumbuhan ekosistem digital di Labuan.
Pembangunan infrastruktur komunikasi dan digital itu dilihat penting memandangkan Labuan berperanan sebagai Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa (IBFC) serta hab logistik minyak dan gas.
Pengoperasian kompleks berkenaan turut memberi tumpuan kepada empat aspek utama, iaitu memperluas suara dan budaya tempatan, mengukuhkan akses digital, memperkasa usahawan tempatan serta meningkatkan literasi dan keselamatan digital dalam kalangan masyarakat.
