


CYBERJAYA, 8 Oktober 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima aduan berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di media sosial untuk menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video berunsur seksual yang didakwa melibatkan pelajar dan guru di sebuah sekolah di Kedah.
MCMC menegaskan bahawa penyalahgunaan teknologi AI untuk menghasilkan atau menyebarkan kandungan seksual yang boleh menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa, khususnya kanak-kanak adalah tertakluk kepada tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), manakala penyedia perkhidmatan berlesen mempunyai kewajipan perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 18 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Sekiranya disabit kesalahan, denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya boleh dikenakan.
Manakala, kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak pula boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa yang sama, isu ini turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Komunikasi (KK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai bidang kuasa masing-masing. Justeru, MCMC akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan dalam siasatan ini.
MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan semula kandungan seksual yang melibatkan atau didakwa melibatkan kanak-kanak, kerana tindakan sedemikian boleh memudaratkan mangsa serta menjejaskan proses siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diseru menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui saluran yang sewajarnya.
